Wednesday 16 November 2011

Manusia tanpa sedar hidup dalam Riak..








Apakah itu Riak?

--> Riak itu ialah melakukan sesuatu kebaikan atau amalan yang baik semata-mata kerana ingin mendapat tempat di hati manusia..





Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma'un ayat 4-6 yang bermaksud;
"Maka celakalah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak."

Dalam surah tersebut, Allah SWT memberi peringatan yang keras bagi mereka yang lalai dalam solat dan juga mereka yang riak.

Ada segelintir manusia yang sedar mereka berlaku riak. Mereka sedar segala perbuatan yang mereka lakukan hanyalah semata-mata ingin mendapat penghormatan dari orang sekeliling. Tapi ada juga segelintir manusia yang tidak sedar mereka sedang berada dalam riak. Mereka tidak sedar perbuatan mereka memanipulasi niat mereka sendiri, iaitu samada ingin mendapat keredhaan Allah SWT ataupun hanya sekadar berniat untuk menonjolkan diri di kalangan yang lainnya.

Perkara yang sering diriakkan manusia adalah seperti;

1. Riak dari segi badan
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.


Dengan pengertian yang lebih mudah, mereka ini dengan sengaja menampakkan keletihan mereka dan dengan sengaja menyatakan amalan yang mereka lakukan yang menyebabkan mereka keletihan dan lemah agar orang lain merasa kagum dengan mereka.


Orang yang benar-benar 'Alim (berilmu), mereka tidak menyatakan apa yang mereka telah amalkan, mereka tidak memperlihatkan dengan sengaja kepenatan mereka dalam beribadah, dan mereka lebih gemar merahsiakan segala sesuatu yang mereka amalkan. Mereka hanya memperlihatkan segala amalan mereka di hadapan Allah SWT dengan harapan memperoleh keredhaan dariNya dan bukan untuk mendapat perhatian dari manusia.


2. Riak pada pakaian
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.



Terdapat juga segelintir yang ingin berubah kepada kebaikan, dan mengenakan pakaian seumpama golongan 'Ulamak (berserban dan berjubah). Mereka beranggapan dengan memakai pakaian seperti itu, mereka akan kelihatan lebih 'Alim dan kelihatan berubah jauh lebih baik dari yang sebelumnya.


Hakikatnya pakaian bukanlah penentuukur amal ibadah seseorang. Allah bukan sekadar menilai cara kita berpakaian (menjaga kehormatan diri), tetapi Dia juga menilai niat yang terletak jauh dalam lubuk hati kita. Kita merasakan dengan berpakaian sedemikian ia mensucikan diri kita, menjaga aurat kita dan menurut sunnah. Akan tetapi, jauh di dalam hati, kita bangga apabila ramai yang kagum dan memandang tinggi dengan diri kita. Kita senang apabila dilihat seperti seorang Ulamak/Ustaz/Tabligh. Wallahu'alamu bitsawab.


3. Riak dengan perkataan
Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.



4. Riak pada amalan
Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.


5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut
Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama' itu dan ulama' ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.




Terdapat beberapa peringkat Riak yang perlu kita ketahui. Ianya adalah seperti berikut;


1. Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2. Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

3. Riak Jali (yang terang)
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.


4. Riak Khafi (yang tersembunyi)
Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.









*********************************************************************************



Oleh itu kita hendaklah ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.


Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnya perasaan riak dan rasa bangga diri,namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.
Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi, jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.

*****************************************************************************************

Dalam post kali ini, sama-samalah kita mengambil pengajaran dan peringatan agar kita tak terjangkiti penyakit Riak dalam kehidupan seharian kita. Adakalanya sukar untuk kita mentafsirkan sendiri niat kita dalam beribadah dan beramal, kerana sering kita terganggu dengan pandangan orang lain di sekeliling kita dan terganggu dengan perasaan senang kita apabila mendapat pujian. Untuk mengelakkan riak terus menguasai amalan kita, sentiasalah beringat-ingat pada peringatan Allah SWT. Sucikan hati dengan selalu mendekatkan diri padaNya, bersihkan niat, dan hendaklah bersederhana dalam beribadah. Tidak perlu menunjukkan pada sesiapa tentang amal ibadah yang kita lakukan. InsyaAllah Dia akan melindungi niat hati kita dan mempermudahkannya untuk kita. Wallahu'alam.

0 comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Please leave your comment here.^^