Wednesday 3 August 2011

Cinta/Mahabbah/Love..

Cinta. Suatu fitrah yang tak mungkin kita dapat lari darinya. Fitrah yang menjadikan manusia saling melengkapi antara satunya. Cinta yang tertanam dalam jiwa, yang mengalir dalam darah, yang terabdi pada nama. Cinta membawa kebahagiaan dan menyenangkan, tetapi ada masanya ia membawa kepada kesakitan dan kesengsaraan.

Akan timbul satu persoalan dalam diri kita: Akan bahagiakah kita jika kita membenarkan perasaan cinta menguasai hati dan jiwa? Atau adakah cinta akan berakhir dengan fenomena perpisahan yang menyedihkan? Semestinya cinta sesama manusia terlalu rumit sehingga kita sukar memastikan apakah penghujungnya.

Cinta sesama manusia yang ditekankan di sini adalah cinta antara Rojul wa Nisa'.

Manusia beranggapan ia adalah cinta yang benar-benar memenuhi keinginan hati, umpamanya 'makanan jiwa'. Tanpanya manusia tidak dapat hidup dan tidak mampu mengecapi bahagia. Tapi hakikatnya ramai yang lebih terseksa tatkala bercinta. Tidak salah bercinta kerana ia merupakan fitrah manusia untuk saling berkasih-kasihan. Tapi kita harus mengikuti jalan yang betul. 

Bernikah. Agama menggalakkan pernikahan untuk menyuburkan perasaan cinta di atas jalan yang halal dan diredhai. Sesungguhnya Rasullulah SAW pernah bersabda: "Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku"
(riwayat Al-Bukhari)



Pernikahan akan menghindarkan seseorang daripada melakukan maksiat. Golongan remaja pada zaman sekarang tidak segan silu melakukan perkara-pekara yang dilarang keras oleh Allah SWT seperti berdua-duaan lelaki dan perempuan, bersentuhan lelaki dan perempuan yang bukan Mahram, dan zina. (Nauzubillah..). Oleh itu perkahwinan amat digalakkan sepertimana sabda Rasulullah SAW: "Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri"
(riwayat Bukhari dan Muslim)

InsyaAllah dengan menyalurkan rasa cinta melalui pernikahan, hubungan sesama manusia sentiasa akan terpelihara dan memperoleh nikmat yang tidak terhingga dari-Nya.

Cinta Suka-suka.
Ia merupakan cinta yang memeritkan. Cinta yang tiada bergantung pada sebarang tanggungjawab, cinta yang didasarkan pada nafsu, dan cinta yang hanya sekadar suka-suka. Cinta seperti ini adalah cinta yang sementara, dan tidak membawa sebarang kebaikan melainkan hanya mendapat keburukan.

Apabila seseorang terlibat dalam cinta seperti ini, mereka akan sering merasa kecewa, sering disakiti, diambil kesempatan, dan tidak dihargai. Kenapakah manusia pada masa kini sangat suka melibatkan diri dalam percintaan seperti ini sedangkan mereka tahu ia tidaklah bahagia seperti yang difikirkan. Apabila soalan seperti ini ditanyakan, pasti jawapannya "Suka-suka..", "Ikut trend..", "Dia ada boy/girl,aku pun nak la..", dan macam-macam lagi jawapan yang sangat tidak matang.

Sesungguhnya cinta seperti ini juga yang membuatkan kita lalai terhadap cinta Allah, dan sekaligus menjauhkan kita dari kasih sayang-Nya. "Yang demikian itu disebabkan karena sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat, dan bahwasanya Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang kafir".(16:107).

Saudara saudari yang dirahmati Allah. Nukilan ringkas ini tiada lain hanyalah untuk memberi ingatan dan berkongsi ilmu. Mudah-mudahan kita dijauhkan dari segala perkara yang sia-sia, dan semoga kita didekatkan pada cinta yang diredhai-Nya. InsyaAllah setiap manusia berhak memperoleh cinta yang didambakan, asal sahaja ia tidak lari dari landasan agama. Sesungguhnya cinta menjadikan fikrah serta tingkah laku kita lebih matang. Tetapi ingatlah, cinta segala cinta adalah cinta kepada Pencipta. Subhanallah. Dialah Pencinta yang sebenar.

0 comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Please leave your comment here.^^